Cerpen Karya Alif Wahab


Aku Anak Merdeka!!!



Yazid adalah seorang anak yang patuh kepada arahan orang tuanya terutama emaknya. Ayahnya telah meninggal beberapa bulan yang lalu, tapi sayang Yazid tidak pernah percaya apa yang telah diceritakan kepadanya selama ini. Telah banyak yang berbicara tentang Pak Rizal, malah boleh dikatakan semua orang-orang tua di kampung banyak bercerita mengenai kebaikan Pak Rizal serta pengorbanan lelaki tua itu. Walau apapun yang diceritakan oleh orang ramai, Yazid tetap dengan pendiriannya yang keras hati. Yazid memang tidak sukakan Pak Rizal. Malah perasaan jijik juga terselit dihatinya apabila melihat keadaan Pak Rizal yang dengkut kakinya apabila berjalan dan mengerutu pula wajah tuanya itu.

2.30 petang Rabu itu, pulang sahaja dari sekolah, Yazid terus pulang ke rumahnya. Dilihatnya emaknya sedang asyik berbual dengan Pak Rizal. Kelihatannya mereka berdua agak rancak sekali. Entah apa yang mereka bualkan,  tidak pasti akan Yazid hal yang dibualkan oleh mereka berdua.

"Tiap-tiap hari nak hantar makanan. Emak aku ni mesti dah kena dek sihir Pak Rizal lah tu agaknya. Memang Pak Rizal ni suka buat hal, dahlah tak sedari diri, muka dah kereput, dah tua-tua ganyut pun masih mahu mengatal," kata Yazid dengan geram sekali. Rasa-rasanya ingin saja dia memukul kepala orang tua itu dengan penyapu lidi yang dipegangnya sehingga mati.

"Emakkk ohhhh Makkkk…! Dah tak tahu nak balik rumah lagi ke ? Orang dah lapar ni, jangan anak di rumah sendiri kelaparan, kera nyanyuk rumah sebelah pula yang diberi makan," begitulah kata-kata pedas yang telah dilaungkan oleh Yazid, pelajar tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Serting dari rumahnya yang kebetulan bersebelahan dengan rumah Pak Rizal.

Setiap kali kawan-kawan Yazid bercerita tentang kehebatan Pak Rizal sewaktu zaman penjajah Jepun dulu, pasti Yazid tergelak-gelak sehingga keluar air mata apabila mendengarkannya.

"Apa yang korang percaya dengan cerita karut tu. Hah korang lihatlah sendiri, orang tua gatal yang bongkok lagi dengkut bila berjalan baru setapak dua tu korang katakan gagah? Buta agaknya mata korang ni. Aku memang tak boleh nak bayangkan sedikit pun macam mana agaknya dia berlawan dengan tentera Jepun dengan keadaannya yang begitu," kata-kata Yazid terhenti disitu, namun diakhiri dengan ketawanya yang agak kuat. Tiba-tibaYazid menoleh ke arah Khairy.

"Engkau sajalah jadi macam Pak Rizal, Khai," Yazid menunding dan merenung ke arah Khairy yang sedang menyiapkan kerja sekolahnya sambil mendengar kisah Pak Rizal dari rakan sekelasnya yang lain. Khairy terus bangun daripada tempat duduknya lalu menepis tangan Yazid, mukanya kelihatan kemerah-merahan sambil bibirnya digigit kedua-duanya bagi menahan rasa amarah yang membuak-buak. Khairy kelihatan betul-betul sakit hati melihat perangai Yazid yang agak keterlaluan itu. Jika diikutkan hati mahu sahaja dia bertumbuk dengan Yazid bagi mempertahankan maruah Pak Rizal, namun Khairy mengambil keputusan pergi dari situ kerana dia tidak mahu membuat apa-apa masalah displin sebelum cuti sekolah bermula. Kelakuan Khairy itu diikuti pula oleh Alif yang kebetulan hendak pergi ke tandas dari tadi namun dibantutkan niatnya apabila keinginan hatinya mahu melihat gelagat Yazid yang dirasakan mampu memberikannya satu atau dua idea dalam penulisan eseinya.

"Woi…! Kenapa ni. Alah takkan cakap macam tu sikit dah nak blah. Tak gentleman lah brader.” Yazid menjerit lagi kepada kedua-dua rakannya itu, namun langsung tidak dipedulikan oleh Alif dan Khairy. Kelakuan Alif dan Khairy diikuti pula oleh beberapa orang pelajar perempuan terutamanya Syakirah dan Nurul yang terasa terganggu dengan kelakuan Yazid itu.

"Perghh.. dah lebih dah ni. Khai dengan Alif pun sekarang ni dah pandai nak membelakangkan aku. Nak kena betul orang tua nyanyuk gila ni. Ni bukan santau lagi ni, ni ilmu merasuk mana lah yang orang tua gila ni dapat.” bentak Yazid sambil menggores-gores mejanya dengan pisau lipat 20 sen yang dipegangnya. Petang itu habis sahaja waktu persekolahan,  Yazid bergegas menunggang basikal GTnya dan terus menuju ke rumah Pak Rizal.

Sesampai di halaman, dilihatnya Khai dan Alif seedang berbual-bual dengan Pak Rizal di beranda rumah papan yang bewarna perang itu. Kemarahan Yazid semakin membara apabila melihat kedua-dua rakan sekelasnya berada di situ.

"Ooh…! Korang tadi masa rehat dengan waktu balik dahlah tinggalkan aku. Nah, ke sini pula kau orang yer. Mengadu heh!” marah si Yazid sambil menyepak beberapa kepingan pasu yang telah pecah.

"Woi, orang tua dengkut lagi tak sedar diri. Turun kau, aku datang nak buat perhitungan hari ini. Engkau, pffft.. benar-benar telah mencabar kesabaran aku," herdik Yazid. Alif dan Khairy ketakutan dibuatnya, lebih-lebih lagi mereka tahu Yazid memang terkenal dengan kehebatan bersilatnya. Emak Yazid pula meninjau-ninjau dari jendela rumahnya. Dia bimbang kalau-kalau anak tunggal lelakinya itu buat hal lagi kali ini.


“ Bro, aku nak kencinglah. Jom temankan aku pergi ke dusun belakang tu.” bisik Alif ke telinga Khairy. “Kau dah kenapa, time-time nilah nak kencing. Nak kencing pergilah kencing sana. Ke kau takut dengan amukan Yazid hah!” jawab Khai. “Alah, teman jelah aku ni. Mana tahu kat dalam dusun tu ada bunian nak culik aku.” Alif berseloroh sambil menampakkan riak wajahnya yang gelisah.

Pada waktu itu, Pak Rizal yang menjadi sasaran Yazid kelihatannya tenang saja. Orang tua itu turut mempersilakan Yazid nak ke rumahnya.

"Naik ke rumah engkau, orang tua? Rumah macam ni, rumah yang dah nak mampus macam penghuninya. Weh! Sedarlah sikit, aku tak akan sesekali menjejakkan kaki aku walau seinci dekat rumah orang yang telah membunuh ayahku sendiri. Puihh…!" Yazid berludah ke arah pokok yang betul-betul di sebelah kirinya.

"Sabarlah Zid, jadilah anak Melayu merdeka yang bersopan, jangan biarkan diri dijajah oleh hawa nafsu, bawa banyak-banyak mengucap," wajah kedut tua Pak Rizal masih lagi tenang ketika itu.

"Jangan cuba azankan aku lah orang tua. Aku pelajar terbaik di sekolah, aku tahulah apa yang aku nak buat. Janganlah kau cuba  sesekali nak bagi nasihat-nasihat dekat aku lah, Kau ingat aku tak tahu apa sebenarnya yang terjadi. Engkau. Ya, engkaulah yang bertanggungjawab atas kematian bapak aku."  Yazid menunjuk ke arah Pak Rizal dengan jari telunjuknya sambil jarinya yang lain digenggam erat bagai hendak ditumbuk sahaja wajah orang tua itu. Pak Rizal hanya mengelengkan kepalanya apabila mendengarkan kata anak muda yang berusia 16 tahun itu.

"Kau salah faham Zid," kata Pak Rizal perlahan-lahan dan lembut sesuai dengan keadaan Yazid yang diselubungi kemarahan itu.

"Ahhh.. Sudahlah.. Mata aku ni nampak sendiri dan menjadi saksinya orang tua. Tangan Pak Rizal tulah yang mencabut parang yang menikam perut bapak," kata Yazid sambil menentang mata Pak Rizal bagai hendak ditelan sahaja orang tua itu

"Tapi bukan aku yang menikamnya…" kata-kata Pak Rizal terputus.

"Janganlah Pak Rizal cuba bermuka-muka, mungkin emak mungkin dapat kau tipu, tapi bukan aku lah. Aku tahu, Pak Riazl sebenarnya dengki. Pak Rizal mahukan tanah di belakang dusun itu bukan. Dengan kematian bapak, senanglah Pak Rizal mendapatkan tanah daripada emak." tiba-tiba satu tamparan hinggap dipipi Yazid. Entah bila perempuan 50-an itu datang, Yazid sendiri tidak menyedarinya.

"Aku tidak pernah mengajar kau berkara begitu Yazid. Kau tak tahu, banyak jasa Pak Rizal kepada keluarga kita," terang emakYazid.

"Mak jangan masuk campur, ini urusan lelaki dewasa. Yazid tak sangkakan emak sanggup menyebelahi leleki pembunuh ini.” Dengan tiba-tiba air jernih yang berlinangan dikelopak mata ibu tua itu tiba-tiba meluncur laju menuruni lurah-lurah tua di pipinya bagai air hujan.

Satu demi satu anak tangga dituruni oleh Pak Rizal. Manakala kelibat Alif dan Khairy yang dari tadi ke dusun tidak muncul-muncul semula.

"Sudahlah Yazid, jangan engkau menjadi anak derhaka di zaman merdeka ini, jadilah anak bangsa yang berguna dan berbakti kepada orang tuamu" Pak Rizal menepuk bahu Yazid. Dengan sekilas pantas jualah sekali Yazid menepisnya.

Kemarahan Yazid semakin membuak-buak sepert laha di gunung berapi yang ingin meletus bila-bila masa sahaja. Dicapainya salah satu batang-batang kayu yang dilihat dengan matanya yang terdapat di suatu sudut halaman rumah Pak Rizal. Setelah mencapai kayu tersebut, Yazid  menghayun kayu itu seperti menghayun kayu besbol namun dapat dielak dengan mudah oleh Pak Rizal, tanpa disangka disebalik ketuaan, ketangkasan Pak Rizal masih terserlah ketika itu. Yazid bukanlah orangnya yang mudah putus asa. Percubaan kedua mesti dilancarkan, taktik pukulan dan hayunannya juga perlu diubah.

"Belepaap.” Kali ini mengena, tapi sayang seribu kali sayang , ianya telah terkena tubuh emaknya yang tiba-tiba saja menerpa ke arah Yazid bagi menghalangnya. Wanita 50-an itu akhirnya telah tersungkur.

"Emaaaakkk…!" Pak Rizal terperanjat. Tanpa berlengah Pak Rizal terus menghampiri ibu Yazid. Kemarahan Yazid ketika itu semakin memuncak.

"Jangan kau berani-berani sentuh ibuku," kata-kata Yazid tidak diperdulikan oleh Pak Rizal. Dengan bersusah payah Pak Rizal cuba membantu ibu Yazid. Bertambah esak tangis perempuan itu melihat perangai anaknya yang banyak berubah semenjak ayahnya meninggal beberapa bulan yang lepas.

Melihat saja Pak Rizal yang tidak mempedulikan amaran dari dirinya itu, Yazid segera mengambil kesempatan memukul Pak Rizal bertalu-talu. Darah mula mengalir. Pak Rizal 
rebah. Ibu Yazid menangis. Melihat saja darah yang tidak berhenti mengalir itu, Yazid menjadi lemah. Ketakutannya tiba-tiba menyelubungi dirinya.

"Apa yang telah aku lakukan," Yazid mengeluh. Perlahan-lahan dia menghampiri Pak Rizal. Keegoannya hilang. Simpati pula yang menyusul.

"Pak cik… Pak cik!" Yazid mengoyang-goyangkan badan Pak Rizal. Pak Rizal yang tertutup matanya tadi akhirnya membuka matanya perlahan-lahan. Pak Rizal merenung Yazid seketika. Tiada reaksi benci yang dipamerkan di wajah lelaki tua itu.

"Nak! Pak cik tidak membunuh bapakmu itu, dia tertikam sendiri dengan parangnya sewaktu jatuh dari pokok kelapa, Pak cik hanya mencabut parang itu saja, itu pun atas permintaan bapamu itu nak. Yazid, Andainya Pak Cik mati, jagalah emak baik-baik, itu jugalah wasiat bapamu sebelum dia meninggal. Pak Rizal mahu kau jadi anak merdeka yang berguna nak. Jangan sia-siakan masa mudamu. " Kelelakian Yazid tercabar ketika itu, air mata yang ditahannya akhirnya tertumpah juga.

"Kau degil Zid, kau degil. Ya Allah!! Dialah yang menyelamatkan ibu dan ayah ketika kami berdua hampir dibunuh oleh tentera Jepun suatu masa dahulu, dia jugalah yang menyelamatkan ayahmu dari ditawan tentera Jepun. Inikah balasanmu terhadap orang yang berjasa kepada keluarga kita?" Yazid memeluk Pak Rizal yang semakin lemah itu. Pilu rasa hati anak muda itu mendengar kata-kata dari ibunya.

"Yazid tak tahu mak, Yazid tak tahu, Pak Cik, maafkan Yazid, Pak Cik.” Ketika itu jugalah anak muda itu tidak dapat menahan linangan air mata lalu benar-benar dia menangis ketika itu.

"Kau yang tidak mahu tahu Yazid. Tahukah kau, kecacatannya yang kau ejek selama ini adalah kerana keberaniannya menyelamatkan beberapa penduduk kampung dari terkena letupan bom musuh. Tapi sayang dia pula yang menanggung derita," kata emak Yazid dalam sendu. Tiba-tiba mata lelaki tua 70-an itu tertutup.

"Pak Cikkkk…!" Yazid menjerit dengan kuat bagai terkena histeria saat itu.

Kenangan itu tidak pernah hilang dari ingatan Yazid. Peristiwa itu benar-benar menjadi penjagaran kepada dirinya sendiri.

Pagi itu, 31 haribulan Ogos 2020, orang ramai sudah sedia berkumpul di dataran merdeka. Berbagai-bagai pakaian yang dipakai oleh kontegen-kontegen yang terlibat dalam perbarisan.
Apa yang amat membanggakan Yazid yang telah mencapai usia 30-an ialah beliau telah diberi kepercayaan dan penghormatan walaupun beliau kini adalah salah seorang menteri di dalam kabinet untuk membantu mendorong kereta roda yang digunakan oleh salah seorang anggota perajurit yang pernah berkhidmat di Somalia yang tercedera sewaktu pembrontakan berlaku di negara Afrika tersebut. Anugerah itu telah disampaikan oleh Yang Dipertuan Agong pada pagi yang penuh keceriaan itu.

"Aku. Ya, aku pasti akan jadi anak merdeka yang berjasa bukan sahaja untuk keluarga malah untuk agama, bangsa, serta negaraku ini" bisik hati Datuk Yazid.

No comments:

Post a Comment