Thursday 21 July 2016

Rahsia Tersirat Lagu Mantera Beradu...

Maksud lirik:

1) (Malique)
Masih belum sempurna..
Bismillahirahmanirahim.
Al Malik Al Kudus Su Salam Mukmin

Maksud: Pada baris pertama penulis menyatakan bahawa amanat, cerita serta wasiat yang cuba disampaikan belum sempurna. Setelah itu, penulis mengucapkan Basmalah bagi memulakan segala-galanya dan dilengkapkan dengan Asmaul-Husna yang mana memberi maksud Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Suci, Yang Maha Memberi Kesejahteraan serta Yang Maha Memberi Keamanan ke atas umat manusia dengan hendakNya.


2) (Suara Latar Koir)
Mantera Beradu X3
Pandang Dia.. pandang Aku

Maksud: Mantera beradu yang disuarakan oleh suara2 latar koir ini sebenarnya bermaksud lagu ini mengandungi amanat, cerita, sejarah serta wasiat yang cuba disampaikan oleh penulis kepada para pendengarnya, seperti mana yang telah saya nyatakan tadi. Seterusnya baris "pandang Dia, pandang Aku" sebenarnya bermaksud penulis menasihatkan para pendengar terutamanya orang2 yang beragama Islam untuk mengingati Allah tidak kira tempat mereka berada kerana Allah itu wujud di setiap segalanya.


3) (M.Nasir)
Gerakkan Hati… Hati gerakkan…
Pandanglah Aku.. Aku lah Dia..

Maksud: Kali ini M. Nasir sebagai penyanyi untuk kali keduanya mengingatkan para pendengar terutamanya yang beragama Islam untuk mengingati Allah. Bukan itu sahaja, beliau juga menasihatkan para pendengar untuk mensucikan hati dan mengerakkan hati untuk mencari Allah. Hati yang suci bersih juga tempatnya di bawah Arasy Allah. Baris pertama tersebut juga bermaksud apabila kita mendengar akan nama Allah hendaklah kita mengetarkan hati untuk takut kepadaNya. Baris "Pandanglah Aku.. Aku lah Dia.." pula bermaksud apa sahaja yang kita lihat tidak kira rumah, kereta, tumbuh-tumbuhan, haiwan, manusia dan sebagainya ingatlah bahwasanya itu semuanya adalah milik Yang Maha Esa.


4) (Malique)
Kulitku tebal.. ku kebal(bebal).. ingatku kebal
Hanya berbual makan angin kembung perut mual
Resah dan tidak senang.. hidup tak pernah lenang
Ku schizoid paranoia takut pecah tembelang

Maksud: Rangkap lirik ini pula menceritakan perihal orang yang telah diberikan amanah serta tanggungjawab bagi menjalankan tugas. Lebih jelas lagi rangkap lirik ini menceritakan perihal para pemimpin tidak kira apa stuktur organisasinya terutamanya dalam kalangan orang Melayu. Apabila mereka telah diberikan amanah serta tugas, penulis menyatakan bahawa para pemimpin ini sebenarnya bodoh kerana sikap tidak amanah mereka yang mana para pemimpin tersebut menggangap tugasan itu sebagai suatu perkara yang remeh temeh. Walaupun pada mulanya mereka telah berjanji akan memberikan segala-galanya dalam berkhidmat kepada negara. Dan setelah mereka diberikan kuasa, mereka mula merasakan diri mereka kebal. Malangnya tidak. Dengan sikap mereka yang hanya tahu bercakap atau memberi janji kosong, makan gaji buta, serta melancong sana sini. Suatu hari, mereka pasti akan mendapat akibat dari diri mereka sendiri. Mana tidaknya Schizo Paranoia sebenarnya bermaksud simptom yang mana sentiasa merasakan diri mereka akan cuba dijatuhkan orang lain. Istilah tersebut wujud dalam bidang psikologi.


5) (M.Nasir)
Pecah tembelang… peta dah hilang
Bangau dah pulang… suara sumbang

Maksud: Rangkap ini jika didengari, ia seakan-akan menyindir sesuatu. Maksud dari rangkap ini sebenarnya adalah setelah segala-gala skandal serta rahsia2 buruk yang dilakukan apabila telah terbongkar dan tidak boleh ditutup atau disangkal lagi (merujuk baris "peta dah hilang") ketika diberikan tanggungjawab dahulu. Mulalah individu2 atau pihak2 berkenaan akan membuat pelbagai reaksi yang agak menjengkelkan menurut penulis. Disebabkan inilah jika didengari betul2 M. Nasir seakan-akan menyindir ketika menyanyikan rangkap ini.


6) (Malique)
Lidahku kaku tak selicin kuku
Teman baikku buku
Bini ku pena.. tak pernah lena
Aku suka mengintai pantang ditenung
Berakhir pertelingkahan dalaman
Pasti belum

Maksud: Jika tadi kita menyentuh mengenai para pemimpin yang mana mereka dipilih berdasarkan janji2 manis mereka dan akhirnya tidak melakukan amanah dengan sebaiknya seperti yang dijanjikan, kali ini penulis menceritakan mengenai perihal orang akademik, para pemikir atau lebih kepada penulis yang mana tidak berkait rapat dengan sosial yang memerlukan kelebihan untuk bercakap di khayalak ramai. Bagi penulis lirik, profesion ini sebenarnya memang baik kerana ia melibatkan pembacaan banyak buku-buku, mengkaji dan memikirkan sesuatu dengan mendalam. Namun, profesion ini juga ada kontranya yang tersendiri dan mereka-mereka ini sangat berbahaya kerana ada ungkapan yang pernah menyebut "mata pena lebih tajam daripada mata pedang". Baris yang berbunyi "Aku suka mengintai pantang ditenung" pula bermaksud mereka bagus dalam bidang ini namun mempunyai hati yang jahat dan suka mencari keburukan pihak lain (musuh terutamanya) dan bersikap bias dalam sesuatu perkara. Dengan alat-alat tulis dan minda-minda yang tajam, mereka boleh menjatuhkan sesiapa sahaja, tetapi penulis mengingatkan mereka agar perlu melihat keburukan yang ada pada diri mereka sendiri dan sekeliling sebelum meneropong keburukan orang lain. Dalam memahami baris "Berakhir pertelingkahan dalaman, Pasti belum" juga berkait rapat dengan nafs yang ada di dalam diri manusia iaitu nafs al-lawamah. Yang mana ada di antara manusia di dalam diri mereka sedang bertarung sisi baik dan sisi jahat mereka itu. Rangkap ini jika diteliti secara luaran adalah mengkritik para wartawan. Mungkin.


7) (Malique)
Ikut gerak hati.. pena melayang
Dilihat dua layang pandang
Tak lah segarang
Takat meradang
Tanya.. abang gedang, apa barang?
Badan macam badang
Main acah belakang parang

Maksud: Sebenarnya rangkap ini mengkritik kehidupan orang Melayu pada masa kini. Baris pertama yang dinyatakan itu sebenarnya membawa banyak maksud kepada saya. Namun begitu tidak perlulah saya menghuraikannya dengan terlalu panjang lebar kerana baris lagu tersebut telah menerangkan keperibadian seorang Melayu masa kini iaitu mereka malas menuntut ilmu (membaca sesuatu ilmiah misalnya) dan lebih kerap beremosi akan sesuatu yang remeh temeh. Seterusnya, penulis iaitu abang Malique memberitahu bahawasanya radang orang Melayu ini kadang-kala tidak mempunyai isi atau asasnya. Penulis mengambarkan kebanyakan orang Melayu bukanlah menjerumus diri mereka kepada sikap seorang pahlawan tetapi kepada seorang yang berlagak gah dan cuma mahu tunjuk hebat di hadapan orang ramai. Sikap mereka dapat digambarkan dengan ayat 'tunjuk samseng' semata-mata ini dapat diihat dalam baris "tanya.. abang gedang, apa barang?". Selain itu baris seterusnya mengkritik sisi Melayu yang hanya mengejar keterampilan luaran sahaja, walhal yang demikian dalaman mereka itu sendiri adalah jauh lebih penting. Ketika memahami baris tersebut, saya teringat satu kajian yang dijalankan seorang profesor, yang mana beliau menyatakan seorang yang berotot besar belum tentu mempunyai kekuatan yang sebenar.


8) (Malique)
Kuhunuskan keris musuh ada pistol
Tradisi kekalkan adaptasi harus betul
Tujuh baris keramat tujuh garis penamat
Baik berpada biar jahat asal selamat
Ramai saudaraku yang baik telah dipijak

Maksud: Sejujurnya ini adalah rangkap yang paling digemari saya di dalam lagu ini. Mengapa? Kerana di dalam lagu ini memperihalkan Sejarah dan kehebatan orang Melayu itu sendiri. Seperti mana semua peminat sejarah sudah ketahui, orang Melayu pada suatu ketika mempunyai senjata api mereka sendiri. Cakap apa sahaja, meriam, lela, rentaka serta meriam bahu mini semuanya telah menjadi 'permainan' bangsa Melayu sejak kesultanan Melaka dahulu, mungkin juga lebih awal dari itu. Namun dek kerana keberanian yang sejati, mereka kerap menggunakan keris. Tapi tunggu dahulu, jangan anda katakan mereka itu dungu, pertempuran mereka menggunakan keris bukanlah sesuatu yang kosong tetapi ia dipenuhi ilmu, masakan pahlawan2 Melayu itu dapat menewaskan ribuan musuh mereka dengan keris2 di tangan sahaja. Semuannya berpaksikan 'tradisi' yang betul. Tapi bagaimana dengan baris lirik yang seterusnya? Baris seterusnya adalah menceritakan mengenai surah al-Fatihah dan amalannya secara seharian mampu meningkatkan martabat seseorang itu terutamnya di akhirat nanti. Seterusnya, penulis menyarankan bahawa seseorang itu perlu mempetimbangkan tingkah laku dirinya sendiri. Di sini, penulis bukanlah mengajak para pendengar menjadi jahat untuk selamat tetapi menjadi seorang yang berakal kerana hati tanpa akal juga akan membawa kemusnahan diri di akhir.



9) (M.Nasir)
Awan mendung yang berarak
Bawa tangis bawa resah
Rebah rindu yang terkumpul
Semua birat dan kalimah
Semua janji yang terikat
Lebur disisimu

Maksud: Secara kesimpulannya, rangkap ini sebenarnya menghuraikan perassan sedih sang penulis tentang apa yang berlaku kepada masyarakat Melayu. Apa yang cuba disampaikan adalah kejayaan dan keagungan yang dikecapi oleh orang Melayu menelurusi dalam bentuk masyarakat besar atau individu tidak kiralah faktor kejayaan itu dari sebuah kerjasama, idea atau apa pun, di akhirnya nanti pasti akan musnah dek pengkhianatan, penipuan, penindasan dan sebaginya. Dan apa yang lebih menyayat hati, semuanya dilakukan oleh saudara sebangsa dan seagama.


10)(Malique)
Yo! ijazah terbaik datangnya dari jalanan
Dari pengalaman bercakap dan bersalaman
Konflik motivasi cuba medatasi
Positif dan benci jadi inspirasi pagi

Maksud: Dalam rangkap ini, penulis tidaklah menolak atau mengatakan bahawa seseorang yang mempunyai segulung ijazah itu tidak berguna kerana saya yakin ada di antara pendengar apabila mendengar bahagian rangkap pasti mereka dapat membayangkan susah sarat seorang yang baru tamat graduasi untuk mencari pekerjaan dan apa yang memberatkan lagi adalah seseorang yang tidak mempunyai segulung ijazah walhal segulung sijil khatan mampu mencari pekerjaan yang lebih baik daripada seorang yang mempunyai ribuan gulungan sijil di rumahnya. Dari situ saya yakin satu perspektif telah mula dibentuk di dalam pemikiran rakyat Malaysia yang mana bagi mereka apa2 sijil pendidikan itu tidak penting kerana bagi mereka juga rezeki semuanya daripada Allah. Ya benar rezeki itu daripada Ar-azak itu sendiri, tetapi ingin saya tegaskan bahawa ada perbezaan di antara pemikiran orang yang menuntut ilmu dengan tidak menuntut ilmu. Apa yang cuba saya gambarkan di sini adalah sijil terutamnya ijazah itu telah mengambarkan seseorang individu itu telah pun menuntut sebidang ilmu dengan mendalam walaupun saya sendiri sedar bahawa ada di antara kita yang membeli sijil2 ini di 'black market' dan walaupun mereka mungkin tidak mendapat sebuah pekerjaan yang bagus, mereka mampu menjana idea dalam mewujudkan sebuah pekerjaan kerana apa2 insitusi yang melibatkan segulung ijazah pasti melatih para pelajarnya untuk menginteprasikan idea dalam bentuk realistik. Seterusnya, penulis menyatakan kehidupan kita juga mampu memberi kita segulung ijazah apabila kita telah memahami dan menghayati erti kehidupan yang sebenar di mana boleh dipeoleh apabila individu mengamalkan sebuah konsep yang dipanggil 'berjalan di muka bumi Allah'.
Bagi baris yang seterusnya, penulis menerangkan seseorang yang menghadapi kesulitan di dalam perjalanannya di bumi Allah terutama konflik privasi perlulah mencuba untuk meluahkannya kepada Yang Maha Pengasih dan Penyayang bagi mendapatkan ijazah kehidupan itu. Namun yang demikian, dalam menjalani kehidupan, masyarakat Melayu akan memulakan kehidupan mereka dengan dua cara iaitu melalui sikap optimis atau pesimis. Di akhirnya itu lah yang akan membentuk markah di dalam gulungan ijazah kehidupan mereka.


11) (Malique)
Peduli itu interpretasi basi pekakkan sebelah
Halang biar keduanya
Muka cantik
Soalan bodoh yang ditanya jadi melodinya
Lebih hina dari zina
Lu bikin dosa ku bikin prosa
Testosterone testarosa cita-cita sosa
KL KL kosa nostra

Maksud: Rangkap ini pula adalah suatu kritikan terhadap kaum wanita dan kaum lelaki Melayu kini, secara amnya. Pada mulanya, penulis mengkritik kaum wanita Melayu masa kini kerana mereka lebih mahukan kelihatan lebih berketerampilan dari luarannya melalui produk2 kosmetik dan trend terkini sahaja sedangkan tidak mempedulikan langsung kecantikan yang mampu dibentuk oleh sebuah kebijaksanaan itu. Acap kali mereka ini mementingkan soalan yang remeh temeh, tidak penting dan kadang kala apabila datang sebuah berita mereka kerap kali menyebarkan sesuatu maklumat yang tidak benar. Mereka juga tidak mahu mengambil fakta yang sebenar dan kerap menghukum apabila seseorang cuba menyampaikan suatu fakta yang sebenar. Mungkin ada di antara pembaca wanita yang tidak berpuas hati akan hal ini, tetapi anda boleh melakukan suatu tinjauan di laman sosial FB sendiri mengenai hal ini. Untuk kaum lelaki pula, hamburan yang disemburkan sebenarnya juga sangat pedas mana tidaknya baris, "testosterone testarosa cita-cita sosa" sebenarnya menceritakan mengenai perihal lelaki Melayu masa kini yang mana kebanyakan mereka sebenarnya memasang cita-cita seperti seorang kartel dadah di negara-negara Amerika kerana mereka lebih menitikberatkan perihal mencari kekayaan. Impaknya sehinggakan kebanyakan drama Melayu masa kini juga menggambarkan pelakon lelakinya dengan imej seorang yang kaya dan bergaya kerana kefahaman itu di salah ertikan. Gambaran yang dibuat ini sebenarnya tidak boleh disalah ertikan, kekayaan itu sebenarnya perlulah dicari demi membangunkan negara dan membantu orang lain, tapi ukuran keperluan dan kehendak perlulah diteliti sentiasa di samping mereka (kaum lelaki) juga perlu mendalami agama demi mengelakkan diri terjerumus dalam ketamakkan demi mencari kekayaan dan akhirnya membezakan diri mereka dengan seorang pengedar dadah. Selain itu, dari sebuah idea untuk mengimpikan kekayaan ini jugalah, maka wujudnya fahaman kekerasan dalam diri ramai anak2 Melayu sehingga sanggup menindas dan sering bergerak dalam bentuk kumpulan samseng terutamanya di bandar2 metropolitan.
*Nota kecil: Testarosa merupakan siri kereta bagi jenama Ferarri dan Sosa pula merupakan sebuah watak di dalam permainan video di mana watak tersebut adalah seorang pengedar dadah terkenal.


12) (Malique)
Jalan berliku ku harung roller coaster
Gah sentosa tiada penyesalan
Luas pandangan jauh dah berjalan
Tak sempurna masih ada kejanggalan
Gagal merancang, merancang kegagalan

Maksud: Menceritkan mengenai erti kehiupan, lirik ini bererti kehidupan adalah sebuah perjalanan, di mana ada turun naik, ada liku-liku yang perlu dilalui. Namun yang demikian, penulis lirik berharap kehidupan yang tidak sempurna itu janganlah dijadikan alasan bagi berhenti berusaha bagi mencari diri dan erti kehidupan. Bak kata pepatah, "Jangan kita berhenti belajar tentang kehidupan kerana kehidupan tidak pernah berhenti mengajar kita".


13)(Malique)
Naik bukit angkuh cakap ayah jangan risau
Turun bukit pucat dengar tiga miaww
Kucing bawa tidur rimau bawa igau
Masuk tempat orang bawa otak bukan pisau
Tolak pintu gua tiga kerat tenaga
Kosong tak dijaga sampai datang tiga naga
Ingat nak berlaga tapi tak kan boleh menang
Menang dengan otak tak mesti dengan pedang

Maksud: Rangkap lirik ini membawa suatu pengertian yang sangat mendalam. Secara asasnya, lirik bercerita mengenai adab yang perlu ada dalam diri seseorang itu apabila beradda di tempat orang dan yang keduanya, lirik mungkin bercerita secara kiasan mengenai sejarah yang pernah dihadapi oleh bangsa Melayu itu terutamanya di Malaysia ini. Baris pertama hingga baris keempat sebenarnya mudah untuk dirungkaikan, namun baris yang ketiga itu seolah-olah mempunyai maksud berlapis. Dapat dikatakan sedemikian kerana ayat tersebut pernah mengingatkan saya dengan kata seorang lelaki, bahwasanya "kita ini mungkin boleh solat berjemaah sama-sama bersama makmum lain, tapi soal akidah seseorang itu, ia adalah urusannya dengan Allah ". Jika anda tidak faham, saya dapat menterjemahkan bahawa ayat "kucing bawa tidur" itu umpama sebuah persoalan mengenai fizikal diri kita dan siapa bersama dengan kita secara fizikal. Pastinya yang dilihat oleh kita hanyalah fizikalnya sahaja dan bukanlah kerohanian diri individu tersebut, sepertimana "rimau bawa ngigau, yang mengungkapkan aspek sebenar diri seseorang individu tersebut dan keteguhan dirinya yang sebenar-benarnya hanyalah dapat dilihat dan diadili oleh Allah sahaja. Di akhirat dia perlu dia akan dihitung dan berurusan mengenainya dengan Allah kelak. Sejujurnya agak sukar untuk menerangkan maksudnya walaupun saya faham sedikit. Namun jika diteliti, secara mudahnya baris ini menceritakan perihal luaran seseorang itu tidak sama dengan dalamannya. Oleh itu kita dinasihatkan menggunakan akal lebih daripada emosi dalam tindak tanduk terutamanya di tempat orang lain. Ini sepertimana yang diberitahu dalam baris seterusnya. Bermula dari baris lirik "Tolak pintu gua tiga kerat tenaga", lagu ini mungkinmengisahkan mengenai konflik peperangan dan perbalahan yang pernah dan tidak disangkal mungkin akan berlaku lagi pada bangsa Melayu. Bercerita mengenai pepecahan yang melanda orang Melayu sehinggalah tugas berat menjaga keharmonian negara kekurangan daya tenaga dan intelek, Bangsa Melayu diuji dengan datangnya para penjajah yang disimbolkan dengan 3 ekor naga. Anda tentu dapat mengagak 3 gelombang gerombolan penjajah tersebut. Saya mengaitkan mereka dengan naga kerana saya teringat akan sebuah bacaan yang lepas, yang mana seorang Nabi mengaitkan kuasa-kuasa yang semakin memuncak dan mempunyai zaman-zaman mereka dengan pelbagai bentuk "beast" & ada di antara makhluk tersebut berbentuk naga. Walaupan gambaran 'beast' yang dibuat oleh Nabi tersebut tidaklah dikaitkan dengan kisah kedatangan penjajah di sini, tetapi tidak salah rasanya jika saya mengaitkan mereka (para penjajah) yang semakin memuncak kuasa mereka dan melakukan penjajahan dengan naga yang disebutkan. Setrusnya strategi sebuah peperangan itu dibahaskab bahwasanya ia bukan sahaja mengenai seberapa banyak persenjataan kita tetapi bagaimana kita menggunakan logik akal bagi memenangi peperangan itu. Soal ini peru diambil berat oleh orang-orang Melayu.


14)(Malique)
Sebelum jadi naga, ikan koi renang renang
Kura-kura salah jawab pantun, naik berang
Panggil lima kawan atau biar pergi laju
Risaukan pekara remeh kita tak akan maju
Muka sama hijau hati siapa tahu
Merah dah menyala pasti mati siapa mahu
Gagap tiga kali bercakap benar saja
Bulan terang ramai yang keluar buat kerja

Maksud: Sejujurnya semasa saya cuba menafisrkan baris pertama dalam rangkap ini, saya telah terbayangkan salah satu karakter di dalam animasi kegemaran saya semasa kecil iaitu animasi Pokemon. Namun begitu dua baris awal dari rangkap ini membicarakan perihal perbezaan di antara yang bijak (ikan koi yang berubah kepada seekor naga) dengan yang bodoh (kura-kura yang berang dengan kesilapan dalam tindakannya). Dalam dua baris tersebut, penulis lirik sebenarnya cuba mengungkapkan asal usul naga yang besar dan menjadi raja segala haiwan dan amfibia itu adalah daripada seekor ikan koi yang kecil, namun ikan koi ini gemar berenag-renang. Di situ perkataan 'berenang-renang' bukanlah bermaksud bergerak di dalam air tanpa hala tuju, tetapi ikan koi tersebut menjalani proses pembelajaran, mengenali ikan-ikan lain yang hidup di sekelilingnya, dsb. Di dalam budaya masyarakat Timur, ikan koi juga dikaitkan dengan nilai falsafah yang tinggi. Berlainan pula kisahnya dengan si kura-kura itu. Seterusnya, di dalam baris ke-3 rangkap ini, penulis mungkin bercerita mengenai perihal zaman Melaka, di mana di akhir zaman Kesultanan itu, Sultan lebih gemar mengambil peduli tentang sesuatu yang remeh temeh dan terlalu bergantung kepada Hang Tuah 5 bersaudara serta para pembesar dalam melunaskan tugas kenegaraan dan diplomasi sehinggakan masalah lain seperti fitnah dan cemburu timbul hinggakan konsekuensi berat lain berlaku. Yang seterusnya, penulis mula bercerita mengenai perihal asal usul kejadian manusia yang berasal dari syurga dan diturunkan ke bumi untuk menjadi hamba yang taat kepada Tuhannya. Dibekalkan dengan hati yang nanti akan dibentuk sendiri oleh hamba tersebut setelah dilahirkan ke dunia, kebanyakan daripada mereka tidak mahu mati setelah mendalam cinta mereka terhadap dunia.

Rasulullah saw bersabda, “Akan tiba suatu saat di mana seluruh manusia bersatu padu melawan kalian dari segala penjuru, seperti halnya berkumpulnya manusia mengelilingi meja makan.”Kemudian seseorang bertanya,”Katakanlah wahai Rasulullah, apakah jumlah Muslim pada saat itu sedikit?” Rasulullah berkata,”Bahkan kalian pada saat itu banyak. Akan tetapi kalian bagai sampah yang dibawa oleh air hujan. Allah akan menghilangkan rasa takut pada hati musuh kalian dan akan menimpakan dalam hati kalian ’Wahn’.
Kemudian seseorang bertanya,”Apa itu ’wahn’?” Rasulullah berkata,”Cinta dunia dan takut mati.” (HR. Abu Daud no. 4297 dan Ahmad 5: 278, Shahih kata Syaikh Al Albani)                            

Saya dapat memberitahu maksud dua baris tersebut kerana perkataan  muka dan warna hijau yang diungkapkan oleh penulis sebenarnya merujuk kepada pakaian ahli syurga yang menjadi tempat asal sang hamba manakala merah dan menyala pula merujuk kepada neraka tempat azab seksa bagi mereka yang tidak meletakkan iman di dalam hati mereka tetapi sebaliknya dunia adalah segala-segalanya sehingga lupa janji merekea kepada sebelum dizahirkan kepada Sang Pencipta. Dengan itu, saya mungkin boleh mengatakan bahawa 2 baris terakhir merupakan keadaan mereka semasa di soal oleh Mungkar dan Nakir sehinggakan mereka tergagap-gagap untuk menjawab 3 soalan yang bersangkut paut dengan keadaan mereka semasa di dunia dari kedua-dua makhluk Allah tersebut dek kerana tingkah laku mereka yang berat ke arah kejahatan dan maksiat yang dilakukan pada kebanyakan malam kerana beranggapan pada waktu malam tiada siapa yang menyaksikan kejahatan yang dilakukan oleh mereka.        
*Nota; Frasa "Muka sama hijau, hati siapa tahu." di dalam lagu ini tidak mempunyai kaitan dengan frasa "Mak kau hijau" yang pernah popular suatu ketika dahulu.


15)(Malique & M.Nasir)
Panjat pokok buluh cari tokong air terjun
Naik sampai nampak dah terpegun turun
Tiga ular ikut lompat atau paut
Kalau terus mati jika belok maut

Maksud: 4 baris di dalam rangkap ini boleh diterangkan dengan mudah kerana ia berkenaan dengan hasil dan akibat apabila seseorang itu mengambil jalan yang betul atau jalan yang salah di dalam hidup mereka. Bagi mereka membuat kebaikan dan memilih jalan keaikan, mereka akan diberi ganjaran sesuai dengan apa yang telah mereka lakukan. Namun, di dalam rangkap ini, mereka yang memilih jalan kebaikan, kebiasaannya adalah mereka yang mencari jalan bagi mempelajari dan megenali diri mereka melalui pengetahuan dan hikmah-hikmah. Dan bagi mereka yang belajar mengenai perkara itu, mereka pastinya akan mengenali Pencipta mereka kerana dengan mendalami pengetahuan dan hikmah, mereka sebenarnya sedang menaiki tangga dan tingkat untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta. Mereka yang sudah berjaya melihat dan mendalami erti hikmah ketuhanan itu (terpegun), pastinya mereka akan menjadi hamba yang taat dengan sujud kepada Raab nya (turun). Kontradik pula bagi mereka yang memilih kejahatan kerana gagal mengenali diri dan Sang Pencipta, pengakhiran yang buruk sudah ditetapkan. Jika tidak bagi mereka di dunia, di akhirat adalah penentunya. Sepertimana baris"Kalau terus mati jika belok maut" yang memberitahu tiada kebaikan dan jalan keluar bagi mereka yang melakukan kejahatan.


16)(Malique)
Kulit tak besalin walau saling ganti baju
Pandang sini pandang sini
Ku berbahasa baku kata kata nahu
Himpun jadi satu
Mantera beradu dengan irama dan lagu

(Suara Latar)
Akhirnya sempurna

Maksud: Rangkap lirik ini pula menegaskan mengenai identiti seorang yang bernama Melayu itu. Penegasan ini dapat dilihat bermula dari baris pertama hingga baris ketiga. Bermula dengan mengingatkan seseorang itu lahir dengan ketetapan identiti bangsa bersama dengan dirinya, mereka itu tidak mampu sesekali dapat mengubahnya walau mereka memilih untuk menganuti dan mengamalkan bentuk budaya dari luar. Penegasan ini mungkin dibuat oleh penulis kerana beliau dapat melihat ramai anak muda seolah-olah terkena penyakit 'sampuk' dari budaya negara-negara lain dan berekstravaganza mengamalkan budaya orang-orang Barat dan Arab dalam kehidupan harian. Baris yang kedua mengambarkan penulis yang mahukan anak-anak sebangsa dengannya supaya bercermin diri bagi mengenali diri dan menerima segalanya seadannya kerana penulis juga memberitahu mereka tidak akan sekali-kali mampu mengubah dan membuang keMelayuaan yang ada pada diri mereka dek kerana kehidupan harian yang mereka jalankan mengandungi identiti Melayu, terutamnya dalam bahasa yang mereka gunakan semenjak dari kecil. Oleh yang demikian, penulis sememangnya berharap penyakit 'inferiority complex' dalam diri anak bangsa perlu ditangkis segera dengan mengenali diri dan mempelajari Sejarah. Penulis juga tidak lupa untuk memberitahu bahawa untuk menguatkan jati diri seorang yang bergelar Melayu itu tidak boleh sesekali meninggalkan agama kerana Islam juga telah menjadi sebahagian daripada identiti diri orang Melayu itu

Pengakhiran di dalam lagu ini daripada rangkap "Akhirnya sempurna" sebenarnya memperlihatkan bahawa penulis telah berusaha dengan sedaya upaya untuk mengungkap atau memberitahu kepada para pendengar permasalahan yang diahadapi oleh Melayu-Islam pada masa kini. Seterusnya, dari nada yang dinyanyikan oleh penyanyi, beliau seolah-olah mengamanahkan para pendengar lagu ini untuk mencari jalan bersama-sama bagi menyelesaikan masalah dan persoalan sepertimana yang telah diceritakan. Ungkapan "Akhirnya sempurna" itu juga sebenarnya mengambarkan bahawa penulis telah menjalankan amanah sedaya upayanya sebagai anak bangsa dengan niat menyedarkan dan mengejutkan yang lain. Sekarang ini, semuanya terpulang kepada diri kita pula sebagai seorang Melayu-Islam yang memegang amanah yang diterima pada ketika ini.