Aku Anak Merdeka!!!
Yazid adalah
seorang anak yang patuh kepada arahan orang tuanya terutama emaknya. Ayahnya
telah meninggal beberapa bulan yang lalu, tapi sayang Yazid tidak pernah
percaya apa yang telah diceritakan kepadanya selama ini. Telah banyak yang
berbicara tentang Pak Rizal, malah boleh dikatakan semua orang-orang tua di kampung
banyak bercerita mengenai kebaikan Pak Rizal serta pengorbanan lelaki tua itu. Walau
apapun yang diceritakan oleh orang ramai, Yazid tetap dengan pendiriannya yang
keras hati. Yazid memang tidak sukakan Pak Rizal. Malah perasaan jijik juga
terselit dihatinya apabila melihat keadaan Pak Rizal yang dengkut kakinya
apabila berjalan dan mengerutu pula wajah tuanya itu.
2.30 petang Rabu itu, pulang sahaja dari sekolah, Yazid terus pulang ke
rumahnya. Dilihatnya emaknya sedang asyik berbual dengan Pak Rizal.
Kelihatannya mereka berdua agak rancak sekali. Entah apa yang mereka bualkan, tidak pasti akan Yazid hal yang dibualkan oleh
mereka berdua.
"Tiap-tiap hari nak hantar makanan. Emak aku ni mesti dah kena dek sihir
Pak Rizal lah tu agaknya. Memang Pak Rizal ni suka buat hal, dahlah tak sedari
diri, muka dah kereput, dah tua-tua ganyut pun masih mahu mengatal," kata Yazid
dengan geram sekali. Rasa-rasanya ingin saja dia memukul kepala orang tua itu
dengan penyapu lidi yang dipegangnya sehingga mati.
"Emakkk ohhhh Makkkk…! Dah tak tahu nak balik rumah lagi ke ? Orang dah
lapar ni, jangan anak di rumah sendiri kelaparan, kera nyanyuk rumah sebelah
pula yang diberi makan," begitulah kata-kata pedas yang telah dilaungkan
oleh Yazid, pelajar tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru
Serting dari rumahnya yang kebetulan bersebelahan dengan rumah Pak Rizal.
Setiap kali kawan-kawan Yazid bercerita tentang kehebatan Pak Rizal sewaktu
zaman penjajah Jepun dulu, pasti Yazid tergelak-gelak sehingga keluar air mata
apabila mendengarkannya.
"Apa yang korang percaya dengan cerita karut tu. Hah korang lihatlah
sendiri, orang tua gatal yang bongkok lagi dengkut bila berjalan baru setapak
dua tu korang katakan gagah? Buta agaknya mata korang ni. Aku memang tak boleh
nak bayangkan sedikit pun macam mana agaknya dia berlawan dengan tentera Jepun
dengan keadaannya yang begitu," kata-kata Yazid terhenti disitu, namun
diakhiri dengan ketawanya yang agak kuat. Tiba-tibaYazid menoleh ke arah Khairy.
"Engkau sajalah jadi macam Pak Rizal, Khai," Yazid menunding dan
merenung ke arah Khairy yang sedang menyiapkan kerja sekolahnya sambil
mendengar kisah Pak Rizal dari rakan sekelasnya yang lain. Khairy terus bangun
daripada tempat duduknya lalu menepis tangan Yazid, mukanya kelihatan
kemerah-merahan sambil bibirnya digigit kedua-duanya bagi menahan rasa amarah
yang membuak-buak. Khairy kelihatan betul-betul sakit hati melihat perangai Yazid
yang agak keterlaluan itu. Jika diikutkan hati mahu sahaja dia bertumbuk dengan
Yazid bagi mempertahankan maruah Pak Rizal, namun Khairy mengambil keputusan
pergi dari situ kerana dia tidak mahu membuat apa-apa masalah displin sebelum
cuti sekolah bermula. Kelakuan Khairy itu diikuti pula oleh Alif yang kebetulan
hendak pergi ke tandas dari tadi namun dibantutkan niatnya apabila keinginan
hatinya mahu melihat gelagat Yazid yang dirasakan mampu memberikannya satu atau
dua idea dalam penulisan eseinya.
"Woi…! Kenapa ni. Alah takkan cakap macam tu sikit dah nak blah. Tak
gentleman lah brader.” Yazid menjerit lagi kepada kedua-dua rakannya itu, namun
langsung tidak dipedulikan oleh Alif dan Khairy. Kelakuan Alif dan Khairy
diikuti pula oleh beberapa orang pelajar perempuan terutamanya Syakirah dan
Nurul yang terasa terganggu dengan kelakuan Yazid itu.
"Perghh.. dah lebih dah ni. Khai dengan Alif pun sekarang ni dah pandai nak
membelakangkan aku. Nak kena betul orang tua nyanyuk gila ni. Ni bukan santau
lagi ni, ni ilmu merasuk mana lah yang orang tua gila ni dapat.” bentak Yazid
sambil menggores-gores mejanya dengan pisau lipat 20 sen yang dipegangnya.
Petang itu habis sahaja waktu persekolahan,
Yazid bergegas menunggang basikal GTnya dan terus menuju ke rumah Pak Rizal.
Sesampai di halaman, dilihatnya Khai dan Alif seedang berbual-bual dengan Pak Rizal
di beranda rumah papan yang bewarna perang itu. Kemarahan Yazid semakin membara
apabila melihat kedua-dua rakan sekelasnya berada di situ.
"Ooh…! Korang tadi masa rehat dengan waktu balik dahlah tinggalkan aku.
Nah, ke sini pula kau orang yer. Mengadu heh!” marah si Yazid sambil menyepak
beberapa kepingan pasu yang telah pecah.
"Woi, orang tua dengkut lagi tak sedar diri. Turun kau, aku datang nak
buat perhitungan hari ini. Engkau, pffft.. benar-benar telah mencabar kesabaran
aku," herdik Yazid. Alif dan Khairy ketakutan dibuatnya, lebih-lebih lagi mereka
tahu Yazid memang terkenal dengan kehebatan bersilatnya. Emak Yazid pula
meninjau-ninjau dari jendela rumahnya. Dia bimbang kalau-kalau anak tunggal lelakinya
itu buat hal lagi kali ini.
“ Bro, aku nak
kencinglah. Jom temankan aku pergi ke dusun belakang tu.” bisik Alif ke telinga
Khairy. “Kau dah kenapa, time-time nilah nak kencing. Nak kencing pergilah
kencing sana. Ke kau takut dengan amukan Yazid hah!” jawab Khai. “Alah, teman
jelah aku ni. Mana tahu kat dalam dusun tu ada bunian nak culik aku.” Alif
berseloroh sambil menampakkan riak wajahnya yang gelisah.
Pada waktu itu, Pak Rizal yang menjadi sasaran Yazid kelihatannya tenang saja.
Orang tua itu turut mempersilakan Yazid nak ke rumahnya.
"Naik ke rumah engkau, orang tua? Rumah macam ni, rumah yang dah nak
mampus macam penghuninya. Weh! Sedarlah sikit, aku tak akan sesekali menjejakkan
kaki aku walau seinci dekat rumah orang yang telah membunuh ayahku sendiri. Puihh…!"
Yazid berludah ke arah pokok yang betul-betul di sebelah kirinya.
"Sabarlah Zid, jadilah anak Melayu merdeka yang bersopan, jangan biarkan
diri dijajah oleh hawa nafsu, bawa banyak-banyak mengucap," wajah kedut
tua Pak Rizal masih lagi tenang ketika itu.
"Jangan cuba azankan aku lah orang tua. Aku pelajar terbaik di sekolah,
aku tahulah apa yang aku nak buat. Janganlah kau cuba sesekali nak bagi nasihat-nasihat dekat aku
lah, Kau ingat aku tak tahu apa sebenarnya yang terjadi. Engkau. Ya, engkaulah
yang bertanggungjawab atas kematian bapak aku." Yazid menunjuk ke arah Pak Rizal dengan jari
telunjuknya sambil jarinya yang lain digenggam erat bagai hendak ditumbuk
sahaja wajah orang tua itu. Pak Rizal hanya mengelengkan kepalanya apabila
mendengarkan kata anak muda yang berusia 16 tahun itu.
"Kau salah faham Zid," kata Pak Rizal perlahan-lahan dan lembut sesuai
dengan keadaan Yazid yang diselubungi kemarahan itu.
"Ahhh.. Sudahlah.. Mata aku ni nampak sendiri dan menjadi saksinya orang
tua. Tangan Pak Rizal tulah yang mencabut parang yang menikam perut
bapak," kata Yazid sambil menentang mata Pak Rizal bagai hendak ditelan
sahaja orang tua itu
"Tapi bukan aku yang menikamnya…" kata-kata Pak Rizal terputus.
"Janganlah Pak Rizal cuba bermuka-muka, mungkin emak mungkin dapat kau tipu,
tapi bukan aku lah. Aku tahu, Pak Riazl sebenarnya dengki. Pak Rizal mahukan
tanah di belakang dusun itu bukan. Dengan kematian bapak, senanglah Pak Rizal
mendapatkan tanah daripada emak." tiba-tiba satu tamparan hinggap dipipi Yazid.
Entah bila perempuan 50-an itu datang, Yazid sendiri tidak menyedarinya.
"Aku tidak pernah mengajar kau berkara begitu Yazid. Kau tak tahu, banyak
jasa Pak Rizal kepada keluarga kita," terang emakYazid.
"Mak jangan masuk campur, ini urusan lelaki dewasa. Yazid tak sangkakan
emak sanggup menyebelahi leleki pembunuh ini.” Dengan tiba-tiba air jernih yang
berlinangan dikelopak mata ibu tua itu tiba-tiba meluncur laju menuruni
lurah-lurah tua di pipinya bagai air hujan.
Satu demi satu anak tangga dituruni oleh Pak Rizal. Manakala kelibat Alif dan
Khairy yang dari tadi ke dusun tidak muncul-muncul semula.
"Sudahlah Yazid, jangan engkau menjadi anak derhaka di zaman merdeka ini,
jadilah anak bangsa yang berguna dan berbakti kepada orang tuamu" Pak
Rizal menepuk bahu Yazid. Dengan sekilas pantas jualah sekali Yazid menepisnya.
Kemarahan Yazid semakin membuak-buak sepert laha di gunung berapi yang ingin
meletus bila-bila masa sahaja. Dicapainya salah satu batang-batang kayu yang
dilihat dengan matanya yang terdapat di suatu sudut halaman rumah Pak Rizal. Setelah
mencapai kayu tersebut, Yazid menghayun
kayu itu seperti menghayun kayu besbol namun dapat dielak dengan mudah oleh Pak
Rizal, tanpa disangka disebalik ketuaan, ketangkasan Pak Rizal masih terserlah
ketika itu. Yazid bukanlah orangnya yang mudah putus asa. Percubaan kedua mesti
dilancarkan, taktik pukulan dan hayunannya juga perlu diubah.
"Belepaap.” Kali ini mengena, tapi sayang seribu kali sayang , ianya telah
terkena tubuh emaknya yang tiba-tiba saja menerpa ke arah Yazid bagi
menghalangnya. Wanita 50-an itu akhirnya telah tersungkur.
"Emaaaakkk…!" Pak Rizal terperanjat. Tanpa berlengah Pak Rizal terus
menghampiri ibu Yazid. Kemarahan Yazid ketika itu semakin memuncak.
"Jangan kau berani-berani sentuh ibuku," kata-kata Yazid tidak
diperdulikan oleh Pak Rizal. Dengan bersusah payah Pak Rizal cuba membantu ibu Yazid.
Bertambah esak tangis perempuan itu melihat perangai anaknya yang banyak
berubah semenjak ayahnya meninggal beberapa bulan yang lepas.
Melihat saja Pak Rizal yang tidak mempedulikan amaran dari dirinya itu, Yazid
segera mengambil kesempatan memukul Pak Rizal bertalu-talu. Darah mula mengalir.
Pak Rizal
rebah. Ibu Yazid menangis. Melihat saja darah yang tidak berhenti mengalir itu,
Yazid menjadi lemah. Ketakutannya tiba-tiba menyelubungi dirinya.
"Apa yang telah aku lakukan," Yazid mengeluh. Perlahan-lahan dia
menghampiri Pak Rizal. Keegoannya hilang. Simpati pula yang menyusul.
"Pak cik… Pak cik!" Yazid mengoyang-goyangkan badan Pak Rizal. Pak Rizal
yang tertutup matanya tadi akhirnya membuka matanya perlahan-lahan. Pak Rizal
merenung Yazid seketika. Tiada reaksi benci yang dipamerkan di wajah lelaki tua
itu.
"Nak! Pak cik tidak membunuh bapakmu itu, dia tertikam sendiri dengan
parangnya sewaktu jatuh dari pokok kelapa, Pak cik hanya mencabut parang itu
saja, itu pun atas permintaan bapamu itu nak. Yazid, Andainya Pak Cik mati,
jagalah emak baik-baik, itu jugalah wasiat bapamu sebelum dia meninggal. Pak Rizal
mahu kau jadi anak merdeka yang berguna nak. Jangan sia-siakan masa mudamu.
" Kelelakian Yazid tercabar ketika itu, air mata yang ditahannya akhirnya
tertumpah juga.
"Kau degil Zid, kau degil. Ya Allah!! Dialah yang menyelamatkan ibu dan
ayah ketika kami berdua hampir dibunuh oleh tentera Jepun suatu masa dahulu,
dia jugalah yang menyelamatkan ayahmu dari ditawan tentera Jepun. Inikah
balasanmu terhadap orang yang berjasa kepada keluarga kita?" Yazid memeluk
Pak Rizal yang semakin lemah itu. Pilu rasa hati anak muda itu mendengar
kata-kata dari ibunya.
"Yazid tak tahu mak, Yazid tak tahu, Pak Cik, maafkan Yazid, Pak Cik.”
Ketika itu jugalah anak muda itu tidak dapat menahan linangan air mata lalu benar-benar
dia menangis ketika itu.
"Kau yang tidak mahu tahu Yazid. Tahukah kau, kecacatannya yang kau ejek
selama ini adalah kerana keberaniannya menyelamatkan beberapa penduduk kampung
dari terkena letupan bom musuh. Tapi sayang dia pula yang menanggung
derita," kata emak Yazid dalam sendu. Tiba-tiba mata lelaki tua 70-an itu
tertutup.
"Pak Cikkkk…!" Yazid menjerit dengan kuat bagai terkena histeria saat
itu.
Kenangan itu tidak pernah hilang dari ingatan Yazid. Peristiwa itu benar-benar
menjadi penjagaran kepada dirinya sendiri.
Pagi itu, 31 haribulan Ogos 2020, orang ramai sudah sedia berkumpul di dataran
merdeka. Berbagai-bagai pakaian yang dipakai oleh kontegen-kontegen yang
terlibat dalam perbarisan.
Apa yang amat membanggakan Yazid yang telah mencapai usia 30-an ialah beliau
telah diberi kepercayaan dan penghormatan walaupun beliau kini adalah salah
seorang menteri di dalam kabinet untuk membantu mendorong kereta roda yang
digunakan oleh salah seorang anggota perajurit yang pernah berkhidmat di
Somalia yang tercedera sewaktu pembrontakan berlaku di negara Afrika tersebut.
Anugerah itu telah disampaikan oleh Yang Dipertuan Agong pada pagi yang penuh
keceriaan itu.
"Aku. Ya, aku pasti akan jadi anak merdeka yang berjasa bukan sahaja untuk
keluarga malah untuk agama, bangsa, serta negaraku ini" bisik hati Datuk Yazid.
No comments:
Post a Comment