Sunday 1 May 2016

Kisah 'Ahli Sufi' Di Zaman Alexander The Great @ Iskandar Zulkarnain

Ahli Sufi, permulaan kisah bagi golongan ini bermula apabila Rasulullah S.A.W memulakan hijrah ke-2 Baginda dari Mekah ke Madinah. Munculnya golongan ini adalah kerana mereka tidak dapat mencari atau melaksanakan tugas-tugas atau kerja-kerja harian seperti para Sahabat yang lain dalam mencari nafkah demi menyara kehidupan seharian mereka ketika di Medinah. Oleh yang demikian, semasa menetap di Masjid Nabawi, mereka melaksanakan tugas menyebarkan ilmu pengetahuan seiring dengan dakwah yang dijalankan oleh Nabi semasa di salah satu bandar suci umat Islam itu. Untuk pengetahuan, gelaran ahli Sufi itu sebenarnya diambil daripada nama kawasan belakang Masjid Nabawi iaitu Suffah di mana tempat tersebut menjadi tempat tinggal sebahagian sahabat Rasulullah di samping mengajarkan ilmu kepada penduduk Madinah yang dahagakan ilmu kerohanian yang sebenarnya. Setelah menjadi kawasan petempatan para Sahabat, Rasulullah mendirikan sebuah atap untuk mereka berteduh daripada terkena terik panas serta hujan basah yang menyukarkan kehidupan harian mereka. 

Menurut Dr Sauqi Abu Khalil dalam Athlas al-Hadith Al-Nabawi menjelaskan, As-Shuffah sebagai teras yang luas dan tinggi. Menurutnya, As-Shuffah boleh juga bermakna tempat berteduh, dan teras rumah. ''As-Shuffah adalah tempat berteduh di Masjid Nabawi di Madinah selama masa kenabian setelah hijrah. Kaum miskin Muhajirin menjadikannya sebagai tempat tinggal,'' ujar Dr Syauqi. Tentang ahli Shuffah itu, menurutnya, disenaraikan dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim. 

Digambarkan dengan gambaran kehidupan yang susah kerana tidak mempunyai pekerjaan, tidak mempunyai kawasan untuk bercucuk tanam serta kesukaran untuk memiliki kawasan tempat tinggal ini sudah cukup memperlihatkan ciri-ciri ahli Suffah pada ketika itu. Dapat diperkatakan juga dengan rutin harian mereka yang melibatkan ilmu pengetahuan, mereka ini juga selayaknya digelar sebagai Ahli Hikmah. Pembuktian dalam konteks ini dapat dilihat dengan jelas, di mana warisan golongan-golongan ini telah menghasilkan pelbagai karya yang bersifat hikmah dan memerlukan suatu titik pemahaman yang tinggi di dalam diri seseorang itu. Apabila menyentuh mengenai Ahli Sufi, di antara kita pasti terbayangkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh 'Bapa Bagi Kucing Jantan' atau Abu Hurairah kerana sudah maklum bahwasanya beliau adalah salah seorang ahli Suffah dan Sufi yang terawal serta ternama sehinggalah hari ini


Sudah cukup saya memberi gambaran sebahagian daripada ciri-ciri ahli sufi itu dan keadaan kehidupan mereka di zaman Rasulullah, sekarang ini mari kita sama-sama melihat sejarah hidup seorang yang boleh dianggap sebagai 'ahli Sufi' ketika di zaman pemerintahan Alexander Agung atau nama Islam Iskandar Zulkarnain, pemilik dua tanduk yang agung.


Tamadun Greek ketika di pengakhiran zaman kekuasaannya memperlihatkan kebangkitan pelbagai bidang ilmu pengetahuan sehinggakan pemerintah mereka, Iskandar Rumi digambarkan seorang yang bijak dan gemar menimba ilmu pengetahuan dengan sesiapa sahaja yang mempunyai walau secebis pun daripada ilmu tersebut tidak kira ianya adalah bidang yang sama sepertimana yang diajarkan oleh gurunya Aristotle (Bistaslis, nama Arab beliau) atau bidang ilmu lain seperti zoologi, biologi, dsb. Kisah ini dapat dicatatkan sebagai pertemuan di antara raja Agung itu dengan 'ahli sufi' yang sukar ditemui pada zaman itu berbanding di zaman Rasulullah dek kerana ilmu hikmah yang dimiliki adalah sangat tinggi pemahaman dan nilainya.


Kisah bermula ketika Alexander atau Iskandar Zulkarnain berada di salah sebuah istana baginda di Corinth. Menurut sebahagian pendapat, Alexander pada ketika itu baru sahaja pulang dari meluaskan jajahan takluknya. Seketika baginda bersemayam di istana, maka para pegawai bawahan Alexander menjalankan sebuah keraian buat dirinya dan dijemputlah seisi Corinth untuk mengucapkan tahniah serta memberi hadiah kepada baginda, terutamanya dalam kalangan bijak pandai serta berpengaruh dalam bentuk kekayaan mereka. Maka istana tersebut dihadiri oleh banyak pihak tidak kira rakyat atau golongan berpengaruh semuanya demi berjumpa raja tersebut di samping mengucapkan tahniah atas kejayaan baginda serta memberikan cenderamata kepada baginda. Setelah istana tersebut memperlihatkan kehadiran ramai pihak, tiba-tiba ada ura-ura mengenai seorang ahli Hikmah yang tidak datang untuk berjumpa dengan raja itu. Mendengarkan khabar bahawa yang tidak hadir itu adalah seorang yang memiliki variasi pengetahuan serta tinggi pemahamannya dalam ilmu hikmah, Alexander menitahkan sebuah rombongan untuk pergi bersamanya bagi mengadakan pertemuan dua mata bersama ahli hikmah tersebut. Sebelum Alexander membut keputusan ada di kalangan penasihat serta para pegawai baginda melarang baginda kerana menurut mereka terutamanya dari khabar penduduk tempatan ahli hikmah itu seorang yang gila dan tidak betul dalam penuturannya. Namun,seperti yang mereka ketahui, nasihat mereka pasti tidak diendahkan oleh raja yang degil itu kerana bagi Alexander, ilmu dari lelaki itu lebih penting daripada karakteristik luarannya.

Berapa kilometer dari kawasan istana Alexander, kelihatan pula seorang lelaki tua berada di dalam sebuah gegelung air (versi lain mengatakan beliau bersandar ketika itu) sambil berjemur di tempat laluan awam dan tidak langsung pendapat awam mengenai kelakuan tidak masuk akalnya itu. Lelaki tersebut bernama Diogenes, keadaan beliau sperti tidak terurus. Tidak lama kemudian, beliau melihat segrembolon orang bersama kuda tunggangan mereka menuju ke arah beliau. Terlihat oleh Diogenes bahawa di antara mereka adalah Iskandar Zulkarnain, namun beliau tidak berganjak sambil menikmati sinaran matahari. Setibanya di hadapan Diogenes, Alexander turun daripada kudanya lalu berjalan ke arah Diogenes dan lelaki itu sedikit pun tidak berganjak atau melakukan 'sembah hormat' kepada raja itu. Apabila sampai betul-betul di hadapan Diogenes, Alexander mula bersuara, "Beritahulah akan diriku ini tentang sesuatu yang kamu tahu." Soalan Alexander itu tidak diendahkan oleh Diogenes, lalu Alexander bertanya lagi "Apakah yang boleh aku lakukan untuk kamu?" Kali ini soalan Alexander dijawab oleh lelaki tersebut, "Ya!!! Tolong, jangan halang cahaya matahari yang menyinari aku. Itu sahaja." Dengan tidak semena-mena sebahagian orang-orang Alexander mula mara ke hadapan kerana beranggapan anotasi dan pertuturan lelaki itu tidak sesuai dituturkan di hadapan seorang raja kerana mengandungi unsur biadab. Tindakan mereka segera dihalang oleh Alexander dan Alexander juga tidak dapat menahan dirinya daripada ketawa dan tersenyum. Setelah mengetahui kesilapannya, Alexander beralih dari kawasan itu dan baginda dikatakan mendapat sepatah dua kata hikmah dari lelaki terebut. Semasa di dalam perjalanan pulang, Alexander memberitahu kepada para pegawai serta yang mengikutinya, "Jika aku pada hari ini bukanlah Alexander, sudah tentu aku adalah Diogenes."



Gambaran pelukis mengenai kedhaifan Diogenes serta anjing2
Dalam versi yang lain setelah Alexander bertemu dengan Diogenes, maka raja itu memulakan bicara katanya, "Aku Alexander, Raja yang Agung." "Dan aku," kata Diogenes, "Aku adalah Diogenes dari Cynic." Ditanya oleh Iskandar mengapa kadang-kala orang-orang tempatan memanggil beliau sebagai anjing, berkatalah Diogenes, "Aku gembira sebagaimana seekor anjing yang mengoyang-goyangkan ekornya kepada orang-orang yang memberikan aku sesuatu, aku akan menyalak kepada orang yang sentiasa menolak untuk memberi, dan aku meletakkan gigiku (mengigit) pada para penyangak/penipu/penjahat." Bicara diteruskan oleh Alexander, ditanyakan oleh raja itu adakah Diogenes takut akan dirinya. Seraya pertanyaan itu dijawab oleh ahli hikmah dengan pertanyaan lain,"Adakah kau sesuatu yang baik atau buruk, wahai Alexander?" Jawapan Alexander, "Baiklah akan diriku ini.". "Maka perlukah akan aku takut tentang sesuatu yang baik." Jawapan itu dijawab oleh Diogenes secara bersahaja.

Selain dua versi dialog di atas, kedua-dua mereka mempunyai versi dialog di dalam pertemuan yang lain. Antaranya pada suatu ketika, semasa Alexander berjalan-jalan di bandar, terlihat akan beliau Diogenes yang sedang melakukan sesuatu yang aneh dengan longgokan rangka-rangka yang dikatakan milik para hamba. Ditanya oleh Alexander mengenai apa yang dilakukan oleh Diogenes, lelaki itu menjawab "Aku sedang mencari rangka ayahmu wahai Alexander, namun tidak ku temui dalam longgokan rangka para hamba ini." Semasa melakukan pertemuan dua mata dengan Diogenes, Alexander turut mendapatkan beberapa nasihat di antaranya adalah "Lelaki / Raja yang bijak itu, sentiasa menunaikan janjinya / tidak mementingkan diri / tidak tamak haloba." (Nasihat ini adalah dari 3 variasi, dan saya lupa di mana saya pernah membaca kata-kata Diogenes ini.) Menurut bacaan saya, sebelum meluaskan kuasanya dari Timur ke Barat, Diogenes menasihatkan Alexander supaya tidak melampau-lampau dalam menjalankan penaklukan kerana diakhirnya sikap negatif itu akhirya memakan diri. Hal ini direkodkan di dalam Hikayat Iskandar Zulkarnain, apabila Alexander mula hilang kawalan terhadap dirinya terutamanya setelah melihat segala-galanya berjaya berada di bawah diri Baginda, namun kesedaran dalam dan sesalan disertakan niat untuk berubah menjadikan Alexander seorang yang mahu mendekatkan diri kepada Tuhannya.

Mengenai Diogenes, yang mana telah saya gambarkan seorang 'ahli sufi' di zaman Alexander dapat dilihat dengan jelas dalam kehidupan beliau yang sangat dhaif namun penuh ilmu sepertimana para Sahabat Rasulullah di Masjid Nabawi. Berasal dari keluarga seorang pemilik bank, beliau yang turut menolong sama dalam kerjaya keluarga itu akhirnya terlibat dengan sebuah masalah sehingga beliau dbuang dari tempat asalnya di Turki atau lebih spesifik lagi Sinope. Bergerak hingga ke Athens bersama seorang hamba yang bernama Manes, Manes akhirnya meninggalkan beliau. Melihatkan sikap Manes itu, berkatalah ia kepada drinya sendiri "Jika Manes mampu hidup tanpa Diogenes, maka Diogenes juga mampu hidup tanpa Manes." Setelah itu beliau berguru dengan salah seorang murid Socrates. Sepanjang proses mendekatkan diri dengan ilmu, Diogenes hanya hidup sekadar cukup sahaja. Gambarannya dapat dilihat apabila beliau hanya tidur di dalam gegelung air terbiar, memakai pakaian yang lusuh serta membawa sedikit perkakasan demi kelangsungan hidup dan pengetahuan yang diinginkan. Dalam proses dia menyebarkan ilmu, dia juga sangat gemar mempelajari sesuatu dari orang lain. Hal ini seperti kata-kata kiasan yang beliau beri kepada Alexander dengan mengibaratkan diri beliau seperti 'anjing' yang dahagakan ilmu.. Ada suatu ketika beliau telah terharu dengan kelakuan seorang anak muda yang telah mengajar beliau secara tidak langsung mengenai kehidupan yang beliau jalankan masih lagi bersifat materialistik dan belum benar-benar berada di landasan sekadar cukup itu.

Kisahnya bermula apabila Diogenes yang mempunyai sebiji cawan  dan sentiasa menggunakannya untuk mencedok air lalu diminum melalui cawannya itu. Pada suatu hari sedang beliau mencedok air, beliau terlihat akan sorang anak muda yang hanya mencedok air dengan tangannya sahaja lalu meminum air tersebut dari tangannya itu. Setelah melihat apa yang dibuat oleh anak muda itu, Diogenes seraya menangis dan berkata, "Wahai anak muda, aku sangat bersyukur pada hari ini kerana pada hari ini aku telah mendapat suatu pengajaran yang sangat berharga dalam hidupku ini melalui dirimu." Diogenes meneruskan lagi, "Pada hemat aku, selama ini aku telah menjalankan sebuah kehidupan yang tidak berdasarkan kebendaan, namun aku telah tersilap besar kerana aku masih menggunakan cawan untuk minum walhal dengan tadahan tangan kosong, aku mampu melakukan perkara itu sebenarnya tanpa mengharapkan yang berunsurkan kebendaan." Setelah berterima kasih dengan budak lelaki tersebut, Diogenes terus membuang cawan yang digunakannya selama ini. Dikatakan tidak menyukai dengan kehidupan yang berasaskan materialistik jugalah akhirnya beliau telah terdorong untuk mengkritik kehidupan Alexander The Great di khayalak ramai.


Patung Diogene berserta anjing dan lampu beliau di Sinope, Turki

Sebelum mengakhiri penulisan ini, benarkan diri ini menulis sebuah lagi kisah menarik mengenai Diogenes ini. Permulaan kisah ini memperlihatkan apabila Diogenes membawa sebuah lampu pelita di khalayak ramai pada waktu pagi, tidak mahu bertanya mengenai apa yang dilakukan oleh beliau kerana takut dimalukan oleh lelaki berilmu itu dan mungkin juga bagi mereka Diogenes itu benar-benar sudah gila serta risau kurangnya kefahaman akan maksud pengajaran yang akan disampaikan oleh Diogenes, maka tidak ada di antara orang awam itu yang menegur diri beliau. Namun begitu, seorang lelaki muda asing yang tidak mengetahui siapakah Diogenes sebearnya mula mendekati lelaki tua tersebut lalu bertanyakanlah akan dirinya mengenai kelakuan pelik lelaki tua itu. Diogenes memberikan jawapan beliau,"Adapun aku menyalakan lampu pelita ini adalah kerana aku sedang mencari seorang manusia yang jujur di sini." Dengan demikian pastinya bagi mereka yang pernah mempelajari sufi, mereka mungkin dapat bersetuju bersama saya bahawa jawapan yang diberikan oleh Diogenes itu mengangdungi ilmu kesufian serta memerlukan intelek kefahaman yang tinggi bagi mendefniskan kata-kata beliau itu. Walaupun berkemungkinan agamanya bukanlah monotheist sepertimana Alexander, namun itu tidak menghalang kita sebagai Muslim untuk meletakkan ilmu yang diajarkan Diogenes mempunyai nilai kesufian kerana di dalam Islam, sesuatu yang membawa kebaikan tidak sewajarnya dihalang, tidak kiralah ia bersangkut paut dengan sesebuah adat atau lebih-lebih lagi ilmu yang akhirnya dapat meletakkan diri dalam sebuah keinsafan dan merapatkan jurang seorang hamba dan Penciptanya.

Sebelum menutup tirai kata, izinkan saya untuk menulis secebis kata punjangga yang telah ternukil di dalam benak fikiran semasa menulis artikel mengenai Diogenes ini:

"Jika engkau tidak mampu mengecapi kemasyuhran dan kekayaan seperti Alexander The Great, maka jadilah seorang dhaif namun bijaksana sepertimana Abu Hurairah di zaman Rasulullah & Diogenes di zaman Iskandar Zulkarnain." 
-Alif Wahab-