Sunday 14 December 2014

Bangsa Melayu, Pencipta Angka Kosong '0' Pertama Di Dunia?


Di dalam buku-buku teks yang kita atau anak-anak kita singkap dan pelajari pada hari ini mungkin menyatakan bahawasanya Muhammad ibn Musa al-Khawarizmi atau lebih mudah digelar al-Khawarizmi yang telah mencipta sistem angka terutamanya nombor kosong ini. Sumber ini diperoleh melalui kajian dan pembacaan yang dibuat ke atas salah satu karya beliau yang dipanggil sebagai Kitab al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wal Muqabbala (837). al-Khawarizmi yang merupakan salah satu tokoh ilmu hisab atau matematik dunia sebenarnya bukanlah mencipta angka sifar '0', tetapi beliau telah memperkenalkan nombor ini di Iraq setelah lawatannya di India pada ketika itu.

Melalui hal ini Tamadun Eropah melalui Fabonacci atau dikenali dengan jolokan Leornado of Pisa, seorang pemikir Itali pada tahun 1202 telah memperkenalkan angka sifar di dalam karya beliau yang berjudul Liber Abaci . Angka zero atau cipher ini telah ditakrifkan oleh mereka sebagai "tiada apa-apa", "kod", "rahsia" mahupun "mesej rahsia" terkandung di dalam angka itu.



Bagaimanapun, melalui penelitian terhadap buku-buku seperti The Universal History of Number (1998) yang telah diterjemahkan dari hasil karya oleh George Ifrah, Histoire Universelle des Chiffres (1981). Nombor-nombor atau simbol-simbol kosong mungkin telah diguna pakai lebih awal di Alam Melayu. Di dalam buku tersebut, George menyebut beberapa nombor kosong telah ditemui tulisan-tulisan pada batu-batu bersurat sekitar Nusantara dan antaranya ialah prasasti tembaga Sankheda di India pada 594, Trapaeng Prei di Kemboja (683), Kedukan Bukit, Sumatera (683), Kota Kapor, Sumatera (686), Dinaya, Jawa (793), Po Nagar, Vietnam (813) dan Bakul, Vietnam (829). Hal ini diperkukuhkan lagi dengan kajian yang telah dibuat oleh Joseph Needham, pengkaji sejarah China daalam buku beliau yang berjudul Science and Civilisation in China (1959). Needham menyatakan bahawa simbol ‘0’ sebenarnya ditemukan di bahagian timur tamadun India, iaitu bahagian yang paling hampir dengan China yang menganggap ‘0’ sebagai tempat kosong.

Pada tahun 1979, seorang profesor undangan di UUM, Frank J. Swetz pernah menyebut bahawa etnik Batak di Sumatera memiliki sistem angka merangkumi '0' yang lebih tua usianya daripada yang terdapat dalam sistem angka Hindu-Islam. Frank juga menyatakan bahawa bukti memperlihatkan 17 maklumat mengenai penemuan nombor '0' di alam Melayu berbanding hanya 7 maklumat sahaja yang dapat dikaitkan dengan penemuan angka kosong di India.

Terdapat juga dalam kalangan para pensyarah di Malaysia yang membahaskan mengenai perkara ini sehngga di peringkat antarbangsa. Antaranya ialah Dr Muhammad Alinor, Prof Dr Shaharir Mohamad Zain yang kini mengajar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Abdul Latif Samian (UKM), Prof Datuk Dr Abdul Razak Salleh (UKM), Dr Mat Rofa Ismail (Universiti Putra Malaysia) dan beberapa pelajar mereka yang turut sama-sama membantu.

Penemuan bukti ini tidak boleh disangkal lagi apabila Amir Aczel, ahli Matematik US yang telah mendedikasikan hidupnya untuk mencari asal-usul bagi angka '0'. Beliau (Amir) berjaya menemui bukti mengenai penciptaan angka kosong di atas sebuah batu bersurat yang terdapat di dalam sebuah hutan di Kemboja. Beliau yang telah berkongsi kajian beliau di dalam The Huffington Post turut berkata: 

"Angka '0' bukan sahaja satu konsep kosong atau tiada apa-apa, yang membolehkan kita untuk melakukan aritmetik dan algebra dan untuk menentukan nombor negatif, tetapi ia juga merupakan salah satu peranti penting. Dalam peranan itu, sifar membolehkan asas-10 sistem nombor kita untuk hidup, supaya angka 10 yang sama boleh digunakan berkali-kali, pada kedudukan yang berbeza dalam nombor. Ini akhirnya telah menjadikan sistem nombor kita  lebih baik dan hebat. Tanpa angka sifar kita mungkin masih  terperangkap dalam Zaman Pertengahan!."

Tamadun Maya-Aztec di Amerika Tengah juga berjaya mencipta simbol ‘0’ ini yang mana ia menyerupai kulit siput. Namun mereka dipercayai tidak memindahkan pengetahuan itu kepada perabadan bangsa-bangsa lain sehingga diwarisi pada zaman moden dengan satu hipotesis. Namun bagi Amir Aczel pula, sistem '0' yang digunakan oleh tamadun tersebut tidak pernah digunakan oleh mana-mana tamadun lain yang terdapat di dunia. Amir Aczel juga meneruskan hujahnya bahwa tamadun-tamdun lain seperti Tamadun Rom dan Tamadun Mesir tidak memperlihatkan sebarang bukti bahawa tamadun-tamadun tersebut yang mengasaskan angka sifar yang digunakan pada hari ini.

Nombor '0' di atas batu bersurat yang ditemui di Kembuja
Amir Aczel dalam kajiannya turut memetik hasil kajian George Coedes, seorang ahli arkeologi Perancis yang menyatakan bahawa angka sifar sebenarnya datang daripada timur (Kemboja/Funan), yang mana hasil arkeologi yang telah membuktikan penggunaan angka '0' di Alam Melayu tersebut telah ditemui beliau dalam runtuhan sebuah kuil abad ke-7 di rantau Mekong. Aczel  turut menyatakan bahawa Coedes, seorang pakar dalam bahasa Khmer Purba, turut menterjemahkan penggunaan sifar yang pertama seperti di bawah:

"Chaka parigraha 605 pankami ROC ..." yang bermaksud "Era Chaka telah mencapai 605 pada hari kelima bulan menyusut ... ". Nombor '6' di sini muncul dalam bentuk terbalik '9', sebagaimana angka enam yang ditulis dalam Khmer Purba .

Dengan bukti-bukti di atas, jelaslah bahawa bangsa Melayu yang telah mencipta angka '0' yang pertama di dunia, atau lebih tepat lagi ciptaan masyarakat Funan/Chenla (sekarang Kemboja) atau masyarakat Empayar Sriwijaya (kerajaan agung Melayu) kerana terdapat bukti tambahan seperti perkataan tujuh (7) dan saribu (1000) telah turut ditemui pada batu bersurat Vo-Canh di Kemboja sekitar kurun keempat. Antara bukti-bukti lain yang ditemui termasuklah tiga perkataan pembilangan duaratus (200),sariwu tluratus sapulu dua (1312) dan dualaksa (20,000) pada prasasti Kedukan Bukit pada tahun 683, perkataan sapuluh dua (12) dan dua laksa(20,000) di prasasti Telaga Batu (Sumatera) pada 683.